Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan melawat Jabatan Logistik, PPDB
07/12/2022

hm_071222.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan Lawatan Tidak Berjadual ke Jabatan Logistik, Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), di sini. 

Hadir sama semasa keberangkatan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu. 

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali. 

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah susulan daripada Mesyuarat Tertutup baginda bersama Pegawai-pegawai Kanan PPDB, kelmarin. 

Antara yang menjadi tumpuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada lawatan tersebut ialah Bahagian Teknologi Maklumat (IT) dan Stor Penyimpanan Peralatan Perhubungan National Digital Communication System (NDCS). 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat ke Bahagian Kuartermaster, seterusnya ke Bahagian Pemeliharaan Elektrik dan Peralatan Keselamatan Lapangan Terbang. 

Kebawah DYMM juga berkenan meninjau Bengkel Kenderaan PPDB, yang turut menempatkan Kenderaan Kenaikan Khas Kebawah DYMM. 

Peranan serta tanggungjawab Jabatan Logistik, PPDB adalah bagi memastikan keperluan logistik dan teknikal yang mencukupi untuk pasukan serta melindungi dan memelihara aset pasukan. 

Di samping memberikan bantuan teknikal dan mekanikal, jabatan ini juga menguruskan Projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN). 

Jabatan Logistik adalah salah satu jabatan di bawah PPDB dan mempunyai lapan bahagian, antara bahagian-bahagian di bawah jabatan berkenaan adalah Bahagian Perhubungan; Bahagian Persenjataan; Bahagian Pentadbiran; Bahagian Pengangkutan dan Bengkel; serta Bahagian Projek dan Pemeliharaan Bangunan. Jabatan Logistik, PPDB pada mulanya adalah di bawah pengurusan serta seliaan Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan. 

Pada tahun 2004, struktur dan organisasi pasukan dikemas kini, di mana Jabatan Logistik, PPDB ditubuhkan berpandukan pada keadaan, kesesuaian dan keperluan semasa. 

Pada 1 Januari 2011, beberapa bahagian yang berasal dari Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan dikeluarkan serta diserapkan ke dalam Jabatan Logistik, PPDB, seperti Bahagian IT, Bahagian Projek dan Pemeliharaan Bangunan, serta Unit RKN.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto